Pembelian panik lonjak harga kubis bulat paling tinggi bulan depan - Utusan Malaysia

Pembelian panik lonjak harga kubis bulat paling tinggi bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Langkah pembelian secara panik di China dijangka mengakibatkan harga runcit kubis bulat diimport dari negara itu melonjak paling tinggi tahun ini iaitu akhir bulan depan, demikian analisis dirumuskan Bahagian Maklumat Pasaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Tinjauan yang dijalankan di pelbagai kedai borong dan runcit utama di semua ibu negeri di Semenanjung mendapati akan berlaku lonjakan harga bagi sayur berkenaan yang mana sudah melepasi paras skala maksimum kebiasaan peringkat runcit iaitu RM4.60 sekilogram, bahkan 45 peratus lebih tinggi jika dibuat perbandingan rekod antara harga tahun ke tahun.

Berdasarkan kajian FAMA itu, skala minimum runcit ialah RM2.90 sekilogram, tetapi pada 20 November lalu, ia  mencecah RM5.35 berbanding RM3.45 pada tarikh sama tahun lepas, justeru, sekiranya trend kenaikan ini berterusan, harga kubis bulat China diunjurkan boleh mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM6.14 sekilogram pada akhir tahun ini.

Ketika ini, FAMA mendapati harga runcit bagi sayur tersebut paling mahal direkodkan ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis dan Kelantan iaitu RM6 sekilogram; diikuti Selangor dengan RM5.50, namun Kedah, Terengganu dan Pahang masing-masing RM5, Perak pula RM4.50, manakala paling murah di Johor dan Melaka iaitu masih RM3.50.

“Daripada maklumat diperoleh, ada beberapa faktor yang mempengaruhi senario kenaikan itu antaranya saranan kerajaan China supaya rakyatnya menyimpan stok makanan termasuk kubis, beras dan tepung sebagai persediaan bagi menempuh fenomena cuaca sejuk luar biasa yang diramalkan berlaku pada hujung tahun ini di negara berkenaan,” jelas FAMA menerusi Facebook.

Situasi tersebut telah pun menyebabkan berlaku senario pembelian panik secara besar-besaran sehingga menjejaskan kuantiti eksport kubis bulat China ke Malaysia hingga bulan depan, namun harga jangkaan tersebut hanya berdasarkan pemerhatian dan analisis semasa tanpa memenuhi tahap piawaian perangkaan rasmi negara.

Kubis bulat China atau nama saintifiknya, Brassica rapa, sudah ditanam di bahagian utara negara itu lebih 6,000 tahun dahulu dan memiliki banyak khasiat kepada kesihatan badan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya