KUALA LUMPUR : Tiada keperluan untuk pihak Kementerian Pertahanan memindahkan atau membuat keputusan drastik berhubung kedudukan pengkalan kem-kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedia ada.
Menjelaskan perkara itu, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, meskipun ia berada di lokasi yang berkepadatan tinggi, namun pihaknya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat sebelum misi penerbangan dimulakan.
“Kesemua landasan terbang di pengkalan-pengkalan TUDM juga mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (International Civil Aviation Organisation, ICAO) yang diaudit secara berkala oleh pihak Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.
“Walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian maka tiada keperluan untuk pihak MINDEF dan ATM untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan kem-kem TUDM sedia ada,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) meminta kerajaan menjelaskan adakah kerajaan akan mengkaji semula status lokasi pengkalan-pengkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak strategik lagi seperti di Butterworth, Labuan dan Kuantan, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekiranya jet pejuang terhempas kerap berlaku, seperti nahas pesawat Hawk 108 yang baru terjadi pada 16 November 2021 lalu dan lain-lain insiden di pengkalan.
Mengulas lanjut, bagi kesemua operasi penerbangan pesawat TUDM, ia juga tertakluk mengikut standard prosedur dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dengan tahap pematuhan yang tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenarkan untuk dilaksanakan.
“Antaranya, prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang (airworthiness) berdasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Original Equipment Manufacturer (OEM),” jelasnya lagi. -UTUSAN ONLINE










