[PARLIMEN] Rayer diarah keluar Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Rayer diarah keluar Dewan Rakyat

RSN RAYER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : RSN Rayer (PH-Jelutong) hari ini diarahkan keluar sidang Dewan Rakyat kerana mengganggu penggulungan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Rayer ketika itu mempersoal mengapa Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) tidak disenarai hitam dan masih dibenarkan ke luar negara walaupun gagal membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mengenai langkah blacklist (senarai hitam) orang yang tidak membayar cukai. Kenapa Pekan (Najib) diberi layanan istimewa?

“Sampai boleh ke Singapura? Kenapa dia tidak disenaraihitamkan?” soalnya.

Bagaimanapun, Zafrul menjawab bahawa ia adalah keputusan Mahkamah untuk membenarkan Najib ke Singapura.

Rayer yang dilihat tidak puas hati sekali lagi menegaskan yang beliau tidak merujuk kepada keputusan mahkamah.

“Banyak rakan-rakan saya yang merupakan peguam pernah disenaraihitamkan di lapangan terbang antarabangsa ataupun mana-mana tempat untuk keluar negara.

“Kenapa Pekan tidak disenaraihitamkan?” soalnya.

Persoalan Rayer kemudiannya dibidas Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan majlis ketika itu mengarahkannya keluar Dewan Rakyat selama 20 minit.

“Saya sudah cakap tadi, saya minta Bentara iring Jelutong keluar rehat di luar selama 20 minit.

“Saya minta maaf. Bentara sila iring Jelutong keluar. Terima kasih Jelutong,” jelas Rashid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya