KUANTAN: Pahang meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri melibatkan sempadan negeri dengan beberapa negeri jiran termasuk Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri sebagai menjunjung titah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan mewartakan tanah kerajaan yang dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan sepanjang kira-kira 26.806 kilometer (km) yang berkeluasan 557.585 hektar, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Menurutnya, berdasarkan pewartaan di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984, kerajaan negeri akan menolak semua permohonan di atas tanah kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6 (e) atau 31 (e) Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992.
“Sebagai makluman, pewartaan HSK terbaru ini merupakan tambahan kepada HSK sedia ada, yang turut terletak dalam kawasan bersempadan dengan keenam-enam negeri tersebut (Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor itu).
“Bagi tanah milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy menambah, Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri ditugaskan untuk menyelaraskan syarat-syarat khas dengan pihak-pihak berkuasa tempatan berkaitan perkara-perkara yang diputuskan tersebut.
“Dengan satu lagi keputusan ‘mesra-alam’ ini, diharapkan, kawasan sempadan Pahang dengan negeri-negeri terlibat, akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE










