PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan caj 20 sen bagi setiap beg plastik kepada pengunjung pasar raya yang tidak membawa bungkusan sendiri adalah wajar dan perlu diteruskan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan pihak lain termasuk Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi menambah baik pelaksanaan tersebut ke arah matlamat penjagaan alam sekitar.
Apa yang penting katanya, caj tersebut dapat dijadikan sebagai salah satu cara mendidik masyarakat ke arah mengurangkan penggunaan bahan yang mencemar alam sekitar.
“Namun begitu, beberapa penambahbaikkan perlu dilakukan agar ia benar-benar berkesan pada masa akan datang dan tidak lagi menimbulkan banyak tanda tanya termasuk duit yang disalurkan hasil kutipan caj tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini melaporkan tentang Kempen Tiada Beg Plastik gagal apabila masih ramai yang tidak membawa beg sendiri apabila mengunjungi pasar raya dan premis jualan lain malah sanggup membayar caj 20 bagi setiap beg plastik yang diminta.
Kempen tiada penggunaan beg plastik telah bermula sejak lebih 10 tahun lalu dengan melibatkan beberapa negeri sebelum diperluaskan ke seluruh negara oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Pada Disember tahun lalu, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 turut bersetuju meluluskan penguatkuasaan Kempen Tiada Beg Plastik di semua premis perniagaan di seluruh negara selepas mendapat sokongan semua negeri.
Keputusan tersebut juga bersetuju peniaga mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.
Pelaksanaan program itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1, mulai Disember 2020 hingga 2021 dengan pelaksanaan tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya besar, pasar raya serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi. – UTUSAN ONLINE









