Kecoh P-hailing campur makanan halal, tidak halal - Utusan Malaysia

Kecoh P-hailing campur makanan halal, tidak halal

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR : Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima aduan daripada pengguna perkhidmatan penghantar makanan (p-hailing) yang mendakwa makanan tidak halal bercampur dengan makanan halal ketika penghantaran makanan di daerah ini.

Setiausahanya, Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, aduan tersebut diterima pihaknya pada minggu lalu apabila seorang pengguna beragama Islam mendakwa menerima bungkusan makanan daripada sebuah kedai bukan Islam.

“Pengadu mendakwa penghantar makanan tersalah memberi bungkusan makanan dari sebuah kedai bukan Islam dan ia bermakna makanan tersebut telah bercampur dengan  makanan halal ketika penghantaran berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yusrizal berkata, situasi tersebut telah mengakibatkan pengguna terutama yang beragama Islam kini ragu-ragu bagi menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“Sehubungan itu, Cake meminta Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Agama Islam melihat kembali perkara ini bagi mengelakkan keraguan berlaku.

“Pada fasa pandemik ini, pastinya ada pengguna yang masih takut untuk keluar makan di restoran dan memilih menggunakan p-hailing, jadi kami harap pihak berwajib pandang serius isu ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN