Johor harap pembukaan VTL udara serentak dengan darat - Utusan Malaysia

Johor harap pembukaan VTL udara serentak dengan darat

HASNI Mohammad menjawab soalan dalam sesi soal jawab sempena Majlis Apresiasi PRE-Ihsan Johor 3.0 2021 kepada Petugas Info Wheels (IOW) dan Pengamal Media Johor di Auditorium RTM Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor berharap pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dapat dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara antara Changi dan Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula pada 29 November ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu pada minggu lalu.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses pembukaan sempadan darat itu berjalan lancar.

“Kenyataan berhubung VTL udara itu dikeluarkan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Kerajaan negeri telah menyuarakan hasrat kepada kementerian berkaitan ekoran pengumuman VTL itu di mana kalau boleh dapat disekalikan dengan VTL melalui jalan darat.

“Mungkin jumlah yang dibenarkan tidak besar seperti yang diharapkan, antara 300 hingga 500 sehari tetapi ia adalah satu permulaan kepada pembukaan semula sempadan itu sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi PRE-Ihsan Johor 3.0 2021 kepada Petugas Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Johor dan Pengamal Media Johor di Auditorium RTM Johor, di sini. 

Malaysia dan Singapura bakal melancarkan VTL bagi pengembara lengkap vaksinasi antara kedua-dua negara menggunakan pengangkutan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah Hasni, pihaknya turut mencadangkan agar pengangkutan yang digunakan untuk VTL darat menggunakan perkhidmatan bas awam supaya ia dapat dilaksanakan secara terkawal dan mengikut masa ditetapkan, sama seperti menggunakan pesawat.

Hasni turut memberitahu, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan pusat untuk membina sebuah lagi Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) di Tambak Johor, sebagai tambahan kepada kemudahan yang sedang dibina di LinKedua.

“Saya dimaklumkan pembinaan BTC di LinKedua itu melibatkan kos sebanyak RM10 juta yang bertujuan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dan penyediaan ruangan istirehat kepada pengembara.

“Jadi untuk membolehkan lebih ramai pengguna berulang alik antara kedua-dua negara, kerajaan negeri bersedia untuk menampung separuh daripada kos pembinaan sebuah lagi BTC di Tambak Johor.

“Kita juga telah memohon kepada Jabatan Imigresen agar BTC itu beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan lebih ramai pihak melakukan perjalanan antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap perkara tersebut akan dipertimbangkan kedua-dua negara bagi membolehkan sektor ekonomi khususnya di negeri ini kembali pulih pada kadar segera. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya