Jakim sedia bantu China dalam bidang dakwah - Utusan Malaysia

Jakim sedia bantu China dalam bidang dakwah

OUYANG YUJING pada Majlis Penyampaian sumbangan Kedutaan China di Malaysia kepada JAWI Food Bank di Kompleks Islam Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia membantu kerajaan China dalam aspek dakwah termasuk pengambilan pelajarnya untuk datang menuntut di negara ini.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad bagaimanapun berkata, ia tertakluk kerjasama kerajaan-kepada-kerajaan kerana melibatkan isu di antara dua negara.

 “China jika berminat, kebiasaannya akan berunding terus dengan pihak Kementerian Luar termasuk sekiranya ada hendak hantar pelajar dalam pengajian Islam di Malaysia,” katanya.

 Terdahulu, beliau hadir menyaksikan penyerahan derma oleh pihak Kedutaan China di Malaysia kepada Jawi Food Bank dikendalikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berjumlah RM100,000 diserahkan sendiri Duta Besarnya, Ouyang Yujing kepada Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Kerajaan China pernah menghulurkan sumbangan buat kali pertama pada April 2020 lalu dan diikuti sebulan kemudian yang ketika itu melibatkan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Mengulas lanjut, Idris berkata, hubungan dengan China ketika ini amat baik bukan sahaja dari segi ekonomi, malah, bantuan kemanusiaan turut diberikan sejak tercetus isu Covid-19 pada awal tahun lalu.

“Kerajaan kita secara dasarnya berharap hubungan mesra ini dapat diteruskan lebih lama dalam pelbagai bidang termasuk penghantaran pelajar Muslim China ke Malaysia,” katanya.

Langkah itu ujarnya, dijangka mampu membantu negara tersebut dalam penyebaran Islam yang sederhana dan memberi imej positif mengenai agama berkenaan dalam masyarakatnya.

Ketika ini dianggarkan terdapat sejumlah lebih 30 juta umat Islam di seluruh China dengan sebahagian besar melibatkan etnik Hui yang dianggap sebagai kaum bumiputera negara itu.

Bahkan, kerajaan China mewujudkan Persatuan Islam China sejak awal 1950-an lalu yang beroperasi seumpama Jakim di negara ini dalam kawal selia ajaran Islam di republik tersebut, termasuk aspek pendidikan Islam untuk murid Muslim, pendaftaran perkahwinan, pensijilan makanan halal, penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci selain pentauliahan imam masjid.

Malah, umat Islam di China dibenarkan bercuti bagi menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha selain dijadikan cuti umum untuk beberapa wilayah yang ramai komuniti Muslim. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya