MELAKA: Meskipun belum ada pengumuman rasmi daripada kem bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkenaan komponen Pakatan Harapan (PH) yang bakal disertai, ura-ura sudah kedengaran bahawa kuota Parti Amanah Negara (Amanah) bakal digunakan untuk memberi ruang mereka bertanding.
Spekulasi itu dilihat selaras dengan ciapan dibuat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini yang menyatakan, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Naib Presidennya, Adly Zahari merupakan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ‘berkeras’ mahu kem Idris dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Jika disorot kembali status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, kawasan itu sememangnya merupakan kerusi milik Amanah.
Maka, tidak hairanlah penyandangnya, Datuk Nor Azman Hassan berani mengatakan, bakal mempertahankan DUN berkenaan dan turut mendakwa telah mendapat restu daripada bekas calon Amanah di kerusi tersebut.
Berbeza dengan Idris yang mengumumkan tidak akan mempertahankan DUN Sungai Udang, kerana kerusi itu bukan milik Amanah sebaliknya merupakan kuota PKR.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Nor Azman menjelaskan, beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding semula di Pantai Kundor menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, keputusan untuk menyertai mana-mana komponen PH masih belum diputuskan, meskipun kerusi tersebut diletakkan di bawah kuota Amanah.
“Mengenai parti mana saya akan sertai sama ada Amanah atau PKR, itu belum dimuktamadkan. Sertai parti mana pun tiada masalah kerana semuanya di bawah satu kompnen yang sama.
“Walaupun tiket Pantai Kundor diberikan kepada Amanah, saya masih belum masuk Amanah. Namun, PH telah memberi persetujuan kepada saya untuk bertanding menggunakan logo mereka pada PRN Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Idris dijangka bakal mengubah haluan ke DUN Asahan yang sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ditandingi oleh calon Bersatu.
Meskipun pernah menafikan perkara tersebut selepas didakwa berkempen di sana, Asahan dilihat merupakan kerusi terbaik buat ADUN Sungai Udang itu memandangkan ia adalah kampung halamannya.
Terdahulu, PH telah menyerahkan DUN Asahan kepada Amanah memandangkan ia adalah kuota milik Pas ketika bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. – UTUSAN










