Ibu bapa yakin SOP Kementerian, sesi persekolahan lancar - Utusan Malaysia

Ibu bapa yakin SOP Kementerian, sesi persekolahan lancar

SEBAHAGIAN ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah hari ini pada hari pertama sesi persekolahan di Putrajaya. - UTUSAN/SUBKHI SUDARJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Selepas hampir tujuh bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19, sesi persekolahan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka bermula hari ini.

Sesi persekolahan secara penggiliran yang dibuka hari ini membabitkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Empat sekolah menengah.

Perasaan gembira berbaur khuatir pasti dirasai ibu bapa, namun dengan kes Covid-19 yang menghampiri fasa endemik dan semakin terkawal, pembukaan semula sekolah diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), di sini mendapati proses pergerakan masuk murid-murid berjalan lancar dengan pemantauan guru-guru sekolah seawal pukul 6.45 pagi.

Selain itu, kehadiran polis trafik yang mengawal lalu lintas nyata memudahkan pergerakan kenderaan ibu bapa yang menghantar anak mereka masing-masing.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Putrajaya Presint 14(1), Zuliana Zam Zam berkata, operasi kehadiran hari pertama persekolahan berjalan lancar dengan peranan guru-guru serta ibu bapa selain dibantu anggota polis yang bertugas.

Menurutnya, guru-guru telah diberikan tugas untuk membantu kehadiran murid-murid ke sekolah begitu juga selepas tamat waktu persekolahan.

“Kalau kita lihat perjalanan trafik sangat lancar, murid-murid sangat mematuhi SOP hadir ke sekolah seolah-olah mereka semua sudah memahami peraturan yang ditetapkan.

“Kami juga menempatkan 10 guru bertugas pada waktu pagi dan 10 orang lagi ketika waktu pulang untuk memudahkan perjalanan murid-murid,” katanya yang turut sama berada di hadapan sekolah menyantuni murid-murid serta ibu bapa, hari ini.

Zuliana berkata, ujian suhu badan setiap murid di lokasi setiap laluan juga banyak membantu proses kemasukan murid-murid yang menunjukkan keterujaan untuk kembali ke sekolah.

“Guru bertugas akan memeriksa suhu badan setiap murid dan jika ada yang melebihi 37.5 ke atas, murid terbabit akan diasingkan dan dibiarkan rehat seketika sebelum diimbas kembali suhu.

“Jika masih tidak berkurangan, pihak sekolah akan memaklumkan ibu bapa untuk mengambil anak,” ujarnya.

Seorang bapa yang ditemui, Faizal Fuad, 42, berkata, dia yakin tahap pematuhan SOP yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pengurusan sekolah dan dia tidak bimbang untuk hantar dua anak perempuannya ke sekolah.

“Kaedah penggiliran yang disyorkan amat sesuai, anak saya tiada masalah dengan SOP baharu ini, bagi saya semuanya berjalan lancar.

“Mungkin ada masanya apabila berada dalam kelas murid-murid akan bercampur dan leka seketika tetapi saya yakin guru yang bertugas sudah pasti arif untuk memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Tambahnya lagi, sebelum sesi persekolahan dibuka hari ini, pihak sekolah juga mengambil inisiatif memaklumkan SOP yang perlu dipatuhi menerusi hebahan secara maya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN