Upacara pengebumian wanita ‘meriah’ bertemakan Barbie

Upacara pengebumian wanita ‘meriah’ bertemakan Barbie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Seorang wanita yang dikenali sebagai Barbie ‘hidup’, Dikivia ‘Kivie’ Steed, 39, dikebumikan dalam keranda kaca berbentuk kotak anak patung itu selepas dia meninggal dunia.

Ibu kepada empat anak yang digelar Barbie oleh keluarga dan rakan-rakan kerana gaya fesyen dan personalitinya yang menyerlah, mengatur sendiri majlis pengebumiannya selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap akhir.

Rakaman video sebelum pemergiannya menunjukkan Kivie di atas katil hospital memberikan arahan mengenai kod pakaian iaitu hitam dan merah jambu serta perlu tampil glamor.

Namun, majlis perpisahan yang diadakan di The Omega Center, Miami, Florida menjadi lebih hebat dari yang dijangkakan dengan tema penuh Barbie dan dihadiri lebih 100 orang yang tampil mengikut gaya yang diminta.

Kivie disemadikan dalam keranda kaca yang direka menyerupai kotak Barbie sebenar lengkap dengan pakaian seperti blazer merah jambu terang, kasut but setinggi paha dan beg tangan merah jambu sambil menampilkan kuku yang baru digilap dan rambut palsu baharu.

Di sisi kerandanya pula terdapat potongan bersaiz sebenar dirinya berlatar belakang merah jambu dengan tulisan ‘Barbie BLVD’, merujuk kepada nama media sosialnya.

Majlis itu juga bukan hanya tentang penampilan terakhir Kivie malah hadirin turut tampil bergaya dengan pakaian hitam dan merah jambu dan ada yang mengenakan baju-T khas bergambar wajahnya sebagai penghormatan terakhir beliau sebelum dikebumikan.

Kivie dikenang bukan hanya kerana kecantikannya yang luar biasa, tetapi juga kerana semangat dan personaliti positifnya yang menyerlah hingga ke saat akhir.

Kivie disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada November 2024 selepas menemui ketulan di ketiaknya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN