Dialog membina mampu merungkai isu pertikaian geopolitik - Utusan Malaysia

Dialog membina mampu merungkai isu pertikaian geopolitik

ISMAIL SABRI Yaakob ketika memimpin delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-13 secara maya di Putrajaya hari ini. – Foto ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menzahirkan komitmen untuk terus teguh dalam menyokong konsep hubungan pelbagai hala atau multilateralisme sebagai cara merungkai konflik antara negara.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada sesi pemukiman dalam Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-13 secara maya hari ini.

“Kami akan terus menekankan asas hidup bersama secara aman dengan mengutamakan lagi kepentingan aspek proses kedamaian, kestabilan dan keselamatan seisi jagat,” kata beliau.

Ini merupakan penampilan sulungnya dalam persidangan dwitahunan yang asalnya dimulakan di Bangkok, Thailand pada 1996 lalu serta kini disertai 21 negara Asia dan 30 negara Eropah.

Kemboja menjadi tuan rumah persidangan kali ini secara maya yang sepatutnya berlangsung pada tahun lalu, namun dianjak kepada tahun ini susulan isu kebimbangan wabak Covid-19.

Dengan membawa topik bertema ‘Mengukuhkan Solidariti Berbanding Pembahagian’, beliau melihat cara diplomasi itu mampu menjadi solusi pertikaian kedaulatan dan integriti wilayah.

“Ia termasuk penyelesaian isu geopolitik selaras konsep ASEM muncul bersama sebagai satu Keluarga Besar, sekali gus asas interaksi, libat urus dan tindakan penyelesaian kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, dengan memahami perbezaan, semua pihak boleh membina keupayaan perasaan empati kepada negara lain dan mampu berhubung lebih baik.

Justeru ujar beliau, langkah memfokuskan kepada persamaan dijangka membolehkan setiap negara berfikir lebih strategik dan bersatu sebagai sebuah keluarga meraikan kemanusiaan.

Menyentuh isu etnik Rohingya dan krisis politik di Myanmar, Malaysia tegas beliau, memang amat prihatin dengan situasi berlaku dan optimis negara itu kembali aman seperti sedia kala.

“Kami teguh komited menyokong usaha Utusan Khas ASEAN bagi segera cari penyelesaian secara damai di Myanmar dan berharap keadaan semasa itu tidak berlarutan lama,” katanya.

Keadaan baik di negara berkenaan tambah beliau, malahan memberi pengaruh kesan positif kepada usaha penghantaran pulang ramai pendatang tanpa izin kaum Rohingya ke Myanmar.

Malaysia ketika ini masih meneruskan bantuan dan perlindungan kepada puak itu atas dasar kemanusiaan meskipun negara ini tidak meratifikasi sebarang konvensyen pelarian global.

Sebagai rumusan, Ismail Sabri mengulangi lagi azam Malaysia dalam menjayakan misi ASEM Process yang merangkumi pelbagai isu serantau dan antarabangsa dengan lebih proaktif.

“Seumpama sebatang pokok besar yang dahannya tumbuh melata ke pelbagai arah berbeza, namun akar tunjangnya tetapi kekal sebagai satu asas kukuh dikongsi bersama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN