MELAKA: Walaupun kempen diadakan mengikut norma baharu, ia tidak menghalang calon-calon untuk berkempen pada hari kedua menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.
Calon-calon didapati turun padang untuk mengedarkan risalah dan poster kepada para pengundi dalam kawasan masing-masing.
Antaranya beberapa calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Misalnya calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali Dira bersiar-siar di kawasan ditandinginya bagi melihat potensi lokasi berkenaan.
Menurut catatan Facebook beliau, Dira dilihat singgah di Pasar Peladang Stadium Jasin yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai.
“Saya singgah ke Pasar Peladang di stadium tengok udang segar-segar. Banyak potensi yang ada di Rim untuk kita sama-sama bangunkan lagi,” katanya.
Selain itu, calon PH bagi kerusi DUN Bukit Katil, Adly Zahari dilihat menunggang skuter bagi mengedarkan risalah di sekitar kawasan ditandinginya.
Adly menerusi Facebook beliau, menunjukkan beberapa foto kempen dilakukannya bagi memulakan kempen hari kedua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Selain itu, calon PN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga mengambil peluang meninjau projek dewan pembangunan yang merupakan salah satu inisiatif pembangunan kawasan Parlimen Masjid Tanah
Katanya lagi, beliau telah memohon peruntukan pembinaan dewan berjumlah RM250,000 daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Zuriada Kamaruddin.
“Pejam celik, Alhamdulillah perkembangan projek kini telah pun mencapai 25 peratus. Ini merupakan taman pertama dalam DUN Tanjung Bidara yang mendapat dewan terbuka sebegini,” katanya.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi menegaskan sebarang aktiviti ceramah yang menghimpunkan orang ramai adalah tidak dibenarkan. – UTUSAN ONLINE










