IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia mengkaji keperluan penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) di kawasan berisiko di Cameron Highlands.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pasukan tersebut akan berperanan mengambil tindakan pantas jika berlaku kecemasan di kawasan tanah tinggi itu khususnya bagi golongan pendaki.
Katanya, pasukan yang dilantik sebagai anggota bomba bantuan itu akan diberi latihan, peralatan menyelamat dan peralatan perlindungan diri (PPE) serta dibayar elaun.
“Di Cameron Highlands sendiri, memang ada balai bomba, tetapi kita juga melihat kepada kawasan yang memerlukan. Dari segi masa tindak balas, kawasan itu tidak sukar untuk kita beri respon (ke lokasi insiden).
“Yang kita (Mocsar) akan pergi adalah kawasan-kawasan terpencil yang memerlukan orang tempatan untuk membantu kita dalam masa terdekat.
“Kita akan kaji keperluan Mocsar di Cameron Highlands seperti mana di Gunung Stong di Kelantan dan Kuala Tahan, Pahang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Perak dan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Utara di sini hari ini.
Seramai 100 pegawai dan anggota JBPM Perak dan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Utara menerima pingat masing-masing pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman.
Turut disampaikan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pegawai Cemerlang Berterusan 2020.
Mengulas lanjut Hamdan berkata, Mocsar sebelum ini ditubuhkan di Sabah melibatkan malim gunung di Gunung Kinabalu yang mana mereka memberi pertolongan awal sebelum ketibaan bomba.
“Mereka ini turun naik hantar orang, apabila berlaku kecemasan, mereka tukar pakaian PPE dan membantu dengan peralatan menyelamat sambil menghubungi bomba.
“Begitu juga dengan Mocsar yang ditubuhkan di Sarawak. Inisiatif sama akan dikembangkan di Kelantan, Pahang dan Perak. Kita sedang melihat lokasi untuk tubuhkan pasukan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE