Bilik Gerakan Komuniti Prihatin bantu masyarakat hindari dadah - Utusan Malaysia

Bilik Gerakan Komuniti Prihatin bantu masyarakat hindari dadah

MOHD. Shahrizal Mohd. Salleh (barisan hadapan, dua dari kanan) diapit Nazir (barisan hadapan, kanan) memberikan bantuan kepada salah seorang keluarga OKT di Flat Sri Perantau, Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 13 Bilik Gerakan Komuniti Prihatin ditubuhkan oleh Agens Anti Dadah Kebangsaan (AADK) khususnya di kawasan berisiko di seluruh Selangor bagi membendung masyarakat daripada terjebak dengan najis dadah.

Pengarah AADK Selangor, Nazir Mohamad berkata, penubuhan bilik gerakan berkenaan turut menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat dengan bantuan pegawai daripada agensi berkenaan bagi membantu penagih untuk menahan diri daripada terus mengambil dadah.

“Ini merupakan salah satu pendekatan baharu kita untuk mengajak masyarakat bagi bersama membasmi najis dadah. Kita akan beri butiran di mana kesemua bilik gerakan ini nanti,” katanya dalam program ziarah prihatin dan pelancaran papan tanda mesej anti dadah anjuran AADK Klang di Flat Sri Perantau, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pegawai AADK daerah yang terletaknya bilik berkenaan akan berada di situ,
dua kali seminggu bagi memberikan perkhidmatan kaunseling serta melakukan pemantauan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang, Mohd. Shahrizal Mohd. Salleh berkata, program hari ini diadakan susulan operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) yang dijalankan di flat tersebut, minggu lalu.

“Program hari ini turut dihadiri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang untuk memberikan sumbangan serta khidmat bantuan kepada keluarga Orang Kena Tahan (OKT) dalam operasi itu.

“Kita hendak mendengar masalah yang dihadapi keluarga OKT supaya kita boleh bantu mereka, dengan harapan OKT boleh berhenti terus ambil dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN