Agong sambut baik konsep Keluarga Malaysia, mahu penuhi keperluan rakyat - Utusan Malaysia

Agong sambut baik konsep Keluarga Malaysia, mahu penuhi keperluan rakyat

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda menerima baik terhadap konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berpandukan semangat itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya pandangan rakyat Malaysia disantuni dan didengari oleh pihak kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dikekalkan.

“Inisiatif Keluarga Malaysia yang telah diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini amat menarik perhatian beta. Benar bagai dikata, kita semua adalah diibaratkan sebagai sebuah keluarga.

“Jika kita amati, semangat Keluarga Malaysia ini boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara yang wujud beraneka kepelbagaian dan jika dasar Keluarga Malaysia yang inklusif dan adil digabungkan pula dengan semangat sebuah Keluarga Malaysia, beta percaya negara akan terus berdaya saing dan mencapai kemajuan yang lebih tinggi.

“Natijahnya, setiap ahli dalam sebuah keluarga hendaklah dihormati. Justeru, semua pandangan rakyat beta sewajarnya dihargai dan keperluan mereka dipenuhi,” titah Seri Paduka.

Titah baginda lagi, pelaksanaan semua program di bawah dasar Keluarga Malaysia hendaklah diteliti, diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Pandangan serta cadangan rakyat beta juga hendaklah diterima oleh agensi pelaksana dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar.” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berangkat ke istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Menerusi titah itu juga, baginda sambut baik Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Harapan beta, peruntukan belanjawan kerajaan hendaklah diurus tadbir dengan penuh ketelitian agar dapat memberi impak optimum kepada negara khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan sosio-ekonomi serta taraf hidup rakyat beta.

“Perkembangan ekonomi negara sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021, menunjukkan negara berada pada landasan yang betul dalam fasa pemulihan ekonomi. Prestasi baik ini hendaklah diteruskan.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu terus meneroka strategi baharu yang berinovatif dan merangka bidang pertumbuhan baharu bagi mencapai matlamat pem-bangunan lestari,” titah Baginda. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN