MELAKA: Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini mencatatkan jumlah kunjungan memberangsangkan hujung minggu lalu, selepas ia dibuka kembali berikutan peralihan negeri ini ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), 1 Oktober lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, Zoo Melaka menerima kehadiran hampir 5,000 pengunjung dalam tempoh seminggu.
Bagaimanapun, tinjauan akhbar ini ke medan kraftangan di situ mendapati, suasana masih kelihatan suram dan tidak serancak dahulu, meskipun kunjungan ke zoo berkenaan meningkat.
Hanya beberapa kedai dibuka dan kehadiran pengunjung yang singgah ke gerai juga tidak seperti diharapkan peniaga.
Penjaja Medan Kraftangan Zoo Melaka, Roszi Jaafar berkata, sebanyak 80 peratus pendapatan peniaga disumbangkan oleh pelancong luar Melaka, termasuk pelancong asing.
Menurutnya, walaupun kerajaan membenarkan sektor pelancongan dalam negeri, khusus untuk rakyat Melaka, sayangnya ia belum cukup membantu peniaga kecil sepertinya.
“Kehadiran pengunjung ke Zoo Melaka sangat menggalakkan. Kawasan tempat letak kereta penuh sampai ke bahagian bawah.
“Bagaimanapun, tidak ramai yang mahu singgah membeli cenderamata kerana semua yang datang adalah rakyat Melaka. Hanya jualan seperti payung dan topi agak laris, memandangkan cuaca panas ketika ini,” katanya yang telah berniaga hampir 23 tahun di situ.
Seorang lagi penjaga kedai, Siti Abdullah, 65, berkata, dia pernah mengambil inisiatif mempelbagaikan produk jualan seperti belacan, cencaluk, dodol dan gula melaka bagi menarik kehadiran pengunjung.
Katanya, namun usahanya itu nampaknya tidak menjadi, apabila produk makanan sedemikian rosak dan terpaksa dibuang.
“Pengunjung memang ada tetapi yang singgah terlalu sedikit, sehingga boleh dikira dengan jari. Sebelum pandemik Covid-19 boleh juga dapat RM500 sehari, tapi sekarang hendak dapat RM100 pun sukar,” katanya. -UTUSAN ONLINE