JOHOR BAHRU: Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan pembukaan semula sektor ekonomi perlu dimanfaatkan pihak industri dengan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini adalah masa terbaik untuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan dengan lebih radikal.
Menurut beliau, perkara itu lebih mustahak dilaksanakan syarikat yang menerima keuntungan akibat pandemik itu khususnya syarikat mega pengeluar sarung tangan.
“Di sebalik cerita kesempitan, kesengsaraan dan penderitaan banyak pihak, kebanyakan syarikat ini dan para pemilik mereka mendapat durian runtuh dan muncul sebagai bilionair baharu negara kita.
“Sehingga kini mereka semua dijangka terus merekodkan keuntungan besar berlipat kali ganda untuk tahun-tahun mendatang dan ada yang sampai merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam sejarah melepasi syarikat petroleum negara.
“Berbekalkan keuntungan berlipat kali ganda ini, sekarang masa terbaik semua syarikat mega mengambil langkah serius mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan dengan lebih radikal,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut statistik Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), seramai 71,800 individu bekerja dalam industri sarung tangan getah dengan hanya 39 peratus iaitu 28,000 adalah warganegara Malaysia.
Baki 61 peratus bersamaan 43,800 lagi adalah pekerja asing dengan kadar permintaan yang semakin meningkat, malah dijangkakan sektor ini memerlukan kira-kira 25,000 lagi pekerja tambahan.
Tambah Mohamed Khaled, perkara itu harus dilihat sebagai agenda nasional atau oleh syarikat-syarikat ini sebagai satu bentuk ‘harm reduction policy’ kepada ekosistem ekonomi Malaysia.
“Kita mungkin tidak boleh menyekat dan mengetepikan pekerja asing sepenuhnya. Namun, sekurang-kurangnya syarikat dengan keuntungan ratusan juta ini boleh memulakan langkah untuk mengutamakan pekerja dan bakat tempatan.
“Pastikan segala kemewahan dan kemakmuran negara yang dikaut selama ini dikongsikan dengan cara yang lebih bermakna dan menyeluruh dengan menggaji lebih ramai pekerja tempatan,” jelasnya.
Mohamed Khaled turut yakin sekirannya majikan menawarkan insentif seperti gaji yang bermaruah, manfaat perubatan dan kesihatan yang munasabah, peluang latihan yang berkualiti, keseimbangan alam pekerjaan dan kehidupan, ramai anak tempatan akan menyertai industri pembuatan dan pengilangan, selain industri lain. -UTUSAN ONLINE