PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk pemilih mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sepertimana dilaporkan beberapa agensi media hari ini.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh menegaskan, garis panduan pencegahan Covid-19 bagi tujuan PRN Melaka itu belum dimuktamadkan.
“SOP berkenaan akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam sidang media di Melaka tengah hari tadi, Abdul Ghani dipetik sebagai berkata, SPR mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti syarat vaksinasi dan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap pengundi yang didapati melanggar SOP berkenaan.
Justeru, beliau menyeru para pengundi menyegerakan proses vaksinasi, memandangkan masih mempunyai tempoh masa mencukupi, selain memakai pelitup muka dan penjarakan sosial di pusat mengundi. – UTUSAN ONLINE










