HOBART: Pihak berkuasa Tasmania sedang berusaha mengenal pasti lendir berwarna merah jambu yang muncul di sebuah pantai terpencil, dengan beberapa saintis bimbang ia mungkin lendir alga.
Lendir berona merah jambu itu dikesan di sepanjang kawasan Teluk Randalls, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan Hobart, pada pagi Jumaat.
Fenomena serupa turut direkodkan di beberapa bahagian Pantai Little Roaring di Terusan D’Entrecasteaux, Tasmania, serta Teluk Little Taylors.
Sampel diambil dan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Tasmania untuk ujian lanjut.
Jurucakap Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tasmania tidak menjelaskan bila keputusan diperoleh, namun berkata lendir alga merupakan kejadian semula jadi yang boleh berlaku akibat perubahan nutrien, suhu, taburan hujan atau cahaya.
“Fenomena ini kadangkala digelar air pasang merah atau merah jambu kerana bunga alga boleh menukar warna air. Bukan semua bunga alga berbahaya, banyak spesies bertindak sebagai sumber tenaga utama untuk haiwan dalam jaringan makanan marin.
“Punca paling biasa air pasang merah di perairan Tasmania ialah fitoplankton marin Noctiluca scintillans, yang boleh menghasilkan paparan cahaya bioluminesen pada waktu malam,” kata jurucakap itu.
Bunga alga berlaku secara semula jadi, tetapi kekerapan kejadian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagiannya disebabkan perubahan iklim dan pencemaran yang mewujudkan perairan kaya nutrien, sekali gus menggalakkan penyebaran dinoflagellata.
Dinoflagellata adalah spesies fitoplankton yang biasanya bertindak sebagai pembersih sampah di lautan.
Semasa berlaku letusan alga, populasinya berkembang dengan cepat, mengganggu operasi ekosistem.
Kejadian itu sering dibandingkan dengan ‘kebakaran belukar bawah air’, dan boleh terus merebak selagi keadaan persekitaran sesuai.
Dalam senario lebih teruk, ekosistem marin sensitif boleh musnah apabila hidupan laut mati atau sesak nafas, sekali gus menambahkan lagi nutrien yang menyuburkan letusan alga tersebut.- THE GUARDIAN











