KUALA LUMPUR : Selebriti terkenal, Noor Neelofa dan suaminya, Pencetus Ummah Haris Ismail, tidak pernah kisah soal jantina anak sekiranya dikurniakan zuriat.
Menurut Neelofa, ini kerana soal zuriat adalah ketentuan Allah SWT dan mereka tidak mahu terlalu tertekan memikirkan hal tersebut.
“Tak pernah terfikir nak anak jantina apa. Saya tak kisah sebab dalam keluarga pun ramai saja anak perempuan dan lelaki. Semua itu rezeki Allah SWT yang susun.
“Tak nak tertekan sangat fikir soal anak sebab lagipun kami baru saja berkahwin bukan… Masih dalam proses membina hubungan suami isteri,” katanya.
Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan Bakul Kasih Prihatin Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir Haris dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Selain itu, kata Neelofa, suaminya juga tentu gembira dan mereka kini menanti zuriat pertama.
“Mestilah dia gembira. Mana-mana suami lain pun akan teruja. Keluarga saya pun doakan yang sama. Masing- masing menunggu berita gembira ini,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kesahihan kehamilannya, Neelofa enggan mengulas lanjut.
Cuma memberi bayangan bahawa sekiranya benar hamil, Neelofa berjanji akan mengumumkan perkara baik tersebut dengan semua pihak.
“Soalan tentang ini selalu sensitif dan biasanya orang akan ada alasan tersendiri untuk tidak menjawab. Bagi saya sendiri, kalau katakanlah desas-desus itu betul atau tidak, saya akan tunggu masa sesuai untuk kongsikan dengan orang ramai.
“Pada saya, berita gembira seperti itu biarlah doa yang baik-baik daripada orang ramai yang kita harapkan. Kalau ada kawan artis lain yang ada berita gembira pun turut buat yang sama iaitu menunggu saat yang betul untuk umumkan.
“InsyaAllah kalau ada masa yang tepat saya akan kongsikan,”katanya.
Terdahulu, Neelofa menyerahkan sumbangan kepada 1,000 penerima zakat daripada Bank Rakyat menerusi program tersebut yang turut mendapat kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).
Program PRIHATIN-MAIWP ini merupakan satu inisiatif PRIHATIN dengan kerjasama MAIWP dan PKN demi keprihatinan bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.
Program ini dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan dalam mendepani cabaran bersama-sama dan hidup sebagai keluarga Malaysia yang membantu antara satu sama lain. – UTUSAN ONLINE










