KUALA LANGAT: Selangor bersedia untuk menganjurkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sekiranya tiada negeri lain enggan berbuat demikian berikutan kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.
Kesediaan itu dinyatakan susulan Johor yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA 2020 masih belum menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan penganjuran atau sebaliknya.
Perkara itu dimaklumkan, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman yang memberitahu, negeri itu bersedia menjadi tuan rumah terhad dengan penganjuran 16 acara wajib sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Selangor kita bersedia sekiranya negeri lain tidak bersedia untuk menganjurkan SUKMA, kita boleh laksanakan dengan aktiviti minimum ataupun acara yang wajib. Kita bersedia dari segi fasiliti dan juga pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Hari Selangor Bersukan (HSB) sempena Hari Sukan Negara di Bukit Jugra di sini.
Namun tambahnya, penganjuran SUKMA sama ada di Johor atau negeri lain masih tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi SUKMA yang masih lagi belum menentukan bila penganjurannya akan dibuat.
Dalam pada itu, beliau juga yakin dengan kemampuan Selangor untuk kekal berada dalam kedudukan terbaik seperti siri temasya sebelum ini walaupun terdapat kekangan dalam latihan berikutan pandemik Covid-19 masih belum reda sepenuhnya.
“Bagaimanapun, saya juga optimis dalam keadaan sekarang yang mana atlet masih berlatih secara dalam gelembung dan juga pelaksanaan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Selangor masih boleh berada dalam kedudukan tertinggi dalam SUKMA,” ujarnya.
Terdahulu, dalam pelancaran HSB yang julung kali diadakan itu, Mohd. Khairuddin mengumumkan peruntukan sebanyak RM720,700 kepada atlet SUKMA Selangor, jurulatih, persatuan sukan dan Majlis Sukan Daerah.
“Sebahagian daripada peruntukan itu adalah untuk membayar elaun kepada atlet dan jurulatih Selangor dan sebahagiannya lagi adalah untuk pengurusan fasiliti. Tetapi paling utama adalah berkaitan elaun,” jelasnya.
Katanya lagi, beliau berharap penganjuran HSB menjadi titik permulaan kepada penganjuran aktiviti sukan di peringkat daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila aktiviti sukan dapat kembali diada dan digiatkan. -UTUSAN ONLINE