Scammer rumah sewa berleluasa di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Scammer rumah sewa berleluasa di Negeri Sembilan

TANGKAP layar beberapa iklan sewa rumah palsu yang terdapat di Facebook dan laman web yang dilakukan oleh scammer.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menyamar sebagai tuan rumah dan kemudian memperdaya mangsa dengan mengambil wang deposit antara taktik yang digunakan ‘scammer’ rumah sewa yang berleluasa di negeri ini.

Mengambil kesempatan terhadap individu yang kelihatan terdesak untuk mencari rumah sewa, ‘scammer’ atau golongan penipu ini juga didapati sering menjadikan laman web tertentu dan kumpulan komuniti dalam Facebook sebagai tempat mencari mangsa dan mengiklan ‘penipuan’ mereka.

Salah seorang mangsa scammer rumah sewa ini yang hanya mahu dikenali sebagai Yuhanis, 35, dia kerugian sebanyak RM2,000 kerana telah membayar deposit kepada individu yang menyamar sebagai pemilik sebuah pangsapuri yang ingin disewanya di Kuala Pilah baru-baru ini.

“Saya telah berpindah tempat tugas dari Kedah ke Kuala Pilah dan mencari rumah sewa sementara memasuki perumahan kuarters yang disediakan. Kemudian saya terlihat satu iklan di Facebook yang mahu menyewakan sebuah rumah pangsapuri.

“Seterusnya saya menghubungi nombor tertera dan individu tersebut mengakui sebagai pemilik rumah. Kami berkomunikasi menerusi WhatsApp dan dia meminta untuk saya menyerahkan deposit sebanyak RM2,000 kepada seorang individu yang diberitahu sebagai penyewa sebelum ini yang akan berpindah keluar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Yuhanis menambah, selepas dia menyerahkan deposit kepada individu yang diminta, dia mendapat kunci rumah tersebut namun pada malam hari tersebut dia didatangi oleh seorang wanita yang menuntut untuk menduduki rumah yang sama.

“Pada waktu itu barulah saya sedar, telah tertipu dan hasil pertanyaan kepada jiran-jiran, saya mendapat nombor telefon sebenar pemilik rumah tersebut. Rupa-rupanya individu yang saya hubungi sebelum itu dan penyewa sebelumnya yang saya serahkan wang deposit adalah orang yang sama.

“Wanita yang menuntut untuk menduduki rumah itu juga telah tertipu sebanyak RM1,500 daripada individu yang sama dan kami kemudiannya membuat laporan polis. Pemilik rumah sebenar juga tidak mengetahui apa yang terjadi namun mujur dia memberikan kebenaran kepada saya untuk menyewa rumah tersebut buat sementara waktu,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Khairul Shamsudin, 31, rumah keluarganya yang terletak di Taman Senawang Jaya juga telah dijadikan sasaran scammer untuk diiklankan sebagai rumah untuk disewa.

“Scammer tersebut telah ambil gambar hadapan rumah keluarga saya dan letakkan di laman web mudah.my dan memaklumkan ia untuk disewa. Rumah kami bukan untuk disewa dan kami sekeluarga masih menetap di rumah tersebut, di dalam iklan tersebut gambar luar memang gambar rumah kami tapi di dalamnya adalah gambar rumah orang lain.

“Seramai tiga orang individu telah datang ke rumah dan memberitahu ingin melihat keadaan rumah dan ibu bapa saya telah maklumkan kepada mereka bahawa rumah kami itu bukan untuk disewa. Ada yang telah membuat pembayaran sebanyak RM300 kepada scammer tersebut, ekoran itu, bapa saya juga telah membuat laporan polis mengenainya,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN