KLANG: Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) menjangkakan industri pelancongan di negeri ini akan melonjak kepada keadaan normal antara enam bulan sehingga setahun setengah.
Presidennya, Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, pihaknya menjangkakan keadaan itu mampu dicapai sekiranya momentum pada masa ini diteruskan termasuk promosi berterusan pelbagai pihak.
Menurutnya, usaha kerajaan membuka sektor pelancongan menerusi gelembung pelancongan di Pulau Langkawi termasuk membawa masuk pelancong dari luar negara tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin 14 hari, memberikan nafas lega buat 836 ahli SAFTTA.
Katanya, ahli SAFTTA terdiri daripada agensi pelancongan, inap desa, hotel, hotel bajet dan pemain industri kecil dan sederhana yang terlibat dengan pelancongan.
“Walaupun kita sudah buka sektor pelancongan untuk pelancong luar negara tetapi daripada respon yang kita terima, orang masih takut untuk keluar sebab apabila balik perlu menjalani kuarantin 14 hari.
“Mungkin kita dapat indikator apabila kerajaan membenarkan Pulau Langkawi dibenarkan dibuka untuk inbound (dalam negara), jadi, ia satu indikator kerajaan akan menarik balik bila rakyat kita pulang bercuti dari luar negara, tidak ada lagi kuarantin,” katanya ketika ditemui pada program lawatan produk About KL & Beyond di Kuala Lumpur dan Selangor anjuran Tourism Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam program tersebut, kira-kira 15 wakil media berpeluang melihat keindahan pulau-pulau yang terdapat di Pelabuhan Klang seperti Pulau Ketam dan Pulau Carey dengan menaiki kapal layar, Princess Amalin.
Program itu dihadiri Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Ramlan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Fathir berharap pelancong tempatan khususnya dapat memilih Selangor sebagai destinasi pelancongan pilihan walaupun bilangan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu tinggi namun ia juga merupakan negeri dengan kadar vaksinasi tertinggi dalam negara.
“Selangor sangat selamat (untuk dikunjungi) sebab macam sekarang ini, kadar vaksinasi kita di Lembah Klang tinggi. Walaupun kes kita tinggi tetapi kita cepat masuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










