PETALING JAYA: Walaupun Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah memutuskan bahawa tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi usaha tetap diteruskan bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-duanya bersama Pas.
Dua pemimpin kanan UMNO dan Pas mengesahkan rundingan sedang dijalankan tetapi belum mencapai kata muktamad. Namun, mereka tidak dinyatakan siapa yang mengetuai atau menganggotai rundingan tersebut.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rundingan berhubung perkara tersebut masih berjalan sebelum keputusan bersama dicapai.
“Ada dua benda saja saya nak katakan. Pertamanya kalau boleh tak ada pertembungan dan perkara itu sedang diusahakan.
“Keduanya, adakan rundingan dan perkara itu sedang dibuat,” katanya selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 di Alor Setar, semalam.
Ditanya sama ada beliau optimis kerjasama akan dicapai, Mahdzir menegaskan: “Saya tak bolehlah beritahu banyak sangat, cukuplah apa yang saya katakan,” ujarnya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-62 pula berkata, terdapat perkembangan positif mengenai kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.
“Ada sedikit berita gembira malam tadi (kelmarin), kita adakan mesyuarat bersama tiga parti, Pas, UMNO dan Bersatu. Insya-Allah bicara soal persiapan dalam PRN Melaka, nampaknya sekarang Pas dikehendaki semua parti,” katanya.
Khamis lepas, MT UMNO sebulat suara memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN). – UTUSAN










