PETALING JAYA : Remaja berusia antara 13 sehingga 15 tahun sering menjadi sasaran pemangsa seksual yang mencari mangsa menerusi rangkaian media sosial.
Sebanyak 2,739 remaja daripada kumpulan berkenaan dilaporkan menjadi mangsa dalam tempoh 2018 sehingga tahun lalu dan turut menjadi sasaran ialah belia berusia antara 18 tahun sehingga 30 tahun dengan 5,331 orang dilaporkan turut menjadi sasaran pemangsa seksual.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, jumlah keseluruhan mereka menjadi mangsa seksual dalam tempoh sama iaitu sebanyak 10,044 orang.
Kata beliau kepada Mingguan Malaysia, daripada jumlah itu, golongan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun turut tidak terlepas menjadi mangsa seks apabila sebanyak 456 orang dicatatkan diikuti mereka yang berusia 6 hingga 9 tahun (188 orang) dan bawah 6 tahun (79 orang).
Menurutnya, kecenderungan golongan itu menggunakan kemudahan teknologi, khususnya telefon pintar untuk menguruskan akademik, kerja dan bersosial sekali gus mendedahkan diri mereka kepada pemangsa seks.
“Pemangsa ini menggunakan ruang sembang dan media sosial untuk memancing mangsa dengan menunjukkan rasa sayang dan menganggap mangsa seorang yang istimewa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Siti Kamsiah menasihatkan individu yang menjadi mangsa gangguan seksual membuat laporan polis segera dan tidak perlu takut meskipun pemangsa adalah individu yang dikenali kerana perlindungan akan diberikan kepada mangsa.
“Kesalahan seksual tidak semestinya bersifat fizikal malah tindakan gangguan seksual boleh berlaku secara lisan, penghantaran kata-kata, video atau imej yang tidak diingini oleh seseorang menerusi media sosial.
“Selagi perkara itu berbentuk mengaibkan sehingga melanggar kesantunan seseorang itu, mangsa boleh tampil membuat laporan dan diingatkan tidak berkongsi sebarang bukti atau keterangan secara terbuka terutama di media sosial kerana ia boleh menjejaskan siasatan selain menimbulkan pelbagai spekulasi, persepsi dan perdebatan yang boleh menimbulkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 hingga Ogos lalu dengan 90 peratus pemangsa ialah mereka yang dikenali dan antara modus operandinya menampilkan watak baik.
Dalam tempoh tersebut, rogol mencatatkan kesalahan seksual tertinggi apabila sebanyak 4,829 kes direkodkan diikuti cabul (3,364 kes), aib (1,320 kes), luar tabii (964 kes), sumbang mahram (984 kes), rogol berkumpulan (244 kes) dan sebar bahan lucah (209 kes). – UTUSAN ONLINE










