Rasuah: Pemandu kakitangan awam direman lima hari - Utusan Malaysia

Rasuah: Pemandu kakitangan awam direman lima hari

SEORANG kakitangan awam berusia 31 tahun (tengah) direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi membantu siasatan kes meminta rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret membenarkan seorang pemandu sebuah jabatan kerajaan direman selama lima hari apabila disyaki meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM11,345 bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat kontrak bernilai RM55,680.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani membenarkan permohonan reman yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemandu terbabit sehingga 26 Oktober ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

SPRM membuat permohonan reman terbabit selepas menahan lelaki berusia 31 tahun itu pada pukul 2.20 petang semalam ketika dia hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan.

Suspek dipanggil memberi keterangan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan kepada syarikat tersebut pada awal tahun ini.

Difahamkan, suspek yang sudah bertugas selama enam tahun di jabatan berkenaan meminta suapan daripada syarikat terbabit dan sebanyak sembilan buah kenderaan telah pun diselenggara sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya