PETALING JAYA: Peratusan jumlah pengundi dijangka menurun sehingga 40 peratus berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diteruskan.
Pada PRU-14, 84.5 peratus pemilih berdaftar atau seramai 418,112 daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar seramai 494,662 keluar membuang undi di 28 DUN di Melaka.
Statistik daftar pemilih terkini sehingga suku tahun 1/2021 yang diwartakan pada 24 Mei 2021 di Melaka adalah sebanyak 498,349 orang.
Beberapa penganalisis politik menjangkakan penurunan jumlah individu keluar mengundi susulan rasa marah dan kecewa rakyat di negeri itu terutama jika PRN diadakan di ketika pandemik Covid-19 masih belum berakhir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik, Dr. Mazlan Ali berkata, walaupun dalam keadaan Covid-19 yang semakin reda, rakyat mungkin mengambil keputusan memboikot daripada keluar mengundi.
“Saya jangkakan kurang 40 peratus rakyat keluar mengundi yang menjadikan keadaan lebih ‘kabur’ untuk kita tentukan siapa yang lebih berpeluang untuk menang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam nada sama, penganalisis politik, Profesor Sivamurugan Pandian berpandangan, tidak mustahil PRN kali ini menjadi platform untuk rakyat di negeri itu menunjukkan protes.
“Saya rasa buat masa ini, keadaan lebih bersifat kepada undi protes melainkan ada kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk bergabung menentang Pakatan Harapan.
“Namun, jika pertembungan tiga penjuru berlaku, ia akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan keputusan mungkin tidak begitu ketara majoritinya,” jelasnya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Azizuddin Sani pula berkata, bagi kerusi kawasan campuran kaum, PH berpotensi untuk menang.
“Kalau kerusi di kawasan berbilang kaum, PH berpotensi untuk mendapat sokongan rakyat namun bagi kawasan golongan Melayu di Melaka, UMNO masih agak kuat.
“Kekuatan sebenarnya pada UMNO tetapi UMNO ketika ini berpecah. Selain itu, tidak dinafikan peratusan keluar mengundi akan jatuh sama ada disebabkan orang ramai masih takut dengan Covid-19 ataupun tidak puas hati dengan tindakan ahli politik,” ujarnya. -UTUSAN










