PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh fokus nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan sasaran lebih 55 peratus pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta mencapai 86.7 peratus kadar kebolehpasaran graduan TVET menjelang tahun 2025.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kementerian akan terus memperkukuh kolaborasi industri bagi memastikan TVET KBS kekal kompetitif, berdaya maju dan menjadi pilihan majikan.
Menurutnya, usaha ini selari dengan cadangan Majlis TVET Negara (MTVET) untuk memperkasa TVET melalui tiga teras strategik iaitu Tadbir Urus Bersepadu, TVET Mencorak Masa Hadapan dan TVET Dipacu Industri.
“Kolaborasi strategik merentas kementerian yang disokong keterlibatan pihak industri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi pendidikan dapat merancang serta melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagi modenisasi ILKBS, KBS akan membelanjakan RM25.5 juta dalam tempoh 2021 hingga 2025 untuk memperkukuh infrastruktur ICT dan menyokong Inisiatif Pendigitalan ILKBS bagi memenuhi keperluan Industri serta Ekonomi Gig menjelang tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) 2020/2021 dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelajar ILKBS 2020/2021 di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Ahmad Faizal berkata, dalam tempoh 2016-2020, ILKBS melatih seramai 42,636 orang belia iaitu 24,005 orang melalui program sepenuh masa dan 18,631 orang melalui program latihan jangka pendek dalam pelbagai pendekatan.
Katanya lagi, laporan Pencapaian KPI Utama Kementerian juga menunjukkan kadar keboleh pasaran Graduan ILKBS meningkat daripada 80 peratus pada tahun 2013 kepada 90.94 peratus pada tahun 2020 dengan gaji purata RM1,711 sebulan.
“Seterusnya, bagi tempoh 2021 hingga 2025, KBS akan terus komited bagi mempertingkatkan kualiti hidup anak muda dengan pelbagai inisiatif baharu bagi meningkatkan kualiti graduan dengan sasaran gaji purata dari RM1,800 hingga RM2,000 melalui Inisiatif Pemerkasaan Bidang TVET Berasaskan Industri dan Pendigitalan.
“KBS juga akan terus menggandakan usaha bagi memartabatkan TVET sebagai pilihan utama belia di negara ini dengan melihat cabaran baharu TVET KBS 2021-2025 untuk memperkasa belia, melahirkan graduan TVET berwibawa, berorientasikan keberhasilan dan melaksanakan modenisasi ILKBS,” katanya.-UTUSAN ONLINE