PETALING JAYA: Kira-kira 400,000 pekerja warga asing telah meninggalkan negara ini akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu dan 200,000 lagi gagal dikesan ekoran kehilangan pekerjaan kerana penutupan sektor ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, agensi tersebut sebelum ini merekodkan jumlah pekerja asing yang berdaftar seramai 1.9 juta orang.
Bagaimanapun menurut beliau, jumlah tersebut dikesan menurun kira-kira 30 peratus atau kira-kira 600,000 daripada jumlah asal seramai 1.9 juta.
“Ketika ini Papa menganggarkan pekerja asing yang sah berada di Malaysia berbaki kira-kira 1.2 juta orang, satu penurunan angka yang sangat drastik.
“Papa hanya mengambil kira jumlah pekerja asing yang sah dan tidak mempunyai jumlah pekerja asing tanpa dokumen,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Yong Hooi memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan warga asing tersebut memilih untuk pulang ke negara asal kerana tiada kerja untuk dilakukan di negara ini ketika pandemik.
“Setakat September lalu, yang datang berdaftar di bawah Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) hanya kira-kira 400,000,” ujarnya.
Menurut Yong Hooi, pergerakan keluar pekerja asing terlibat kebanyakannya membabitkan kalangan pekerja Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik.
“Namun kini ketika kerajaan mula membuka semula sektor ekonomi, majikan mula berdepan masalah mencari pekerja terutama bagi sektor sektor 3D (Kotor, Berbahaya, Rumit).
“Warga tempatan walaupun tiada kerja, mereka tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D yang bukan sahaja dianggap ‘memenatkan’ tetapi gaji juga dianggap tidak setimpal,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Mohsein juga tidak menolak kemungkinan berlakunya pergerakan meninggalkan Malaysia sehingga menyebabkan majikan kini berdepan masalah mendapatkan pekerja asing.
Menurut beliau, pihak berkuasa negara ini perlu menilai semula peraturan membawa masuk pekerja asing agar tidak menyusahkan bagi mengisi semula kekosongan sektor-sektor tertentu yang dibuka semula.
“Kami berharap Malaysia dapat membenarkan pekerja asing untuk kembali ke negara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisi permintaan kerja itu,” katanya.
Sementara itu di Kuantan, golongan kontraktor Melayu kini berdepan masalah kekurangan 50 peratus tenaga kerja khususnya pekerja asing.
Masalah itu berpunca daripada perkhidmatan pekerja asing sedia ada telah tamat tempoh dan pekerja baharu tidak dibenarkan masuk ke negara ini ekoran sekatan perjalanan akibat penularan wabak Covid-19.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pekerja hilang kerja termasuk membabitkan pekerja asing.
“Ketika ini, permintaan kepada pekerja asing tinggi kerana projek-projek pembinaan telah berjalan kembali setelah terhenti akibat Covid-19.
“Jadi, khidmat pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh begitu diperlukan ketika ini bagi memastikan projek-projek pembinaan dapat berjalan lancar,” katanya.
Abd. Gapar berkata, kebiasaannya golongan kontraktor kecil yang terkesan akibat ketiadaan tenaga buruh.
“Jumlah tenaga kerja (pekerja asing) seseorang kontraktor itu bergantung kepada kelas atau jenis kontraktor. Jika ia kontraktor besar, maka ramailah pekerja asing mereka.
“Namun hakikatnya ketika ini, jumlahnya begitu berkurangan dan jika berpanjangan pasti memberikan kesan kepada golongan kontraktor dalam menyiapkan projek-projek pembinaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










