KUALA LUMPUR: Ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-Ordinan Darurat diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Usul berkenaan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan diluluskan selepas ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang membahaskannya.
Ini bermakna, ordinan itu secara rasmi telah dibatalkan pelaksanaannya.
Terdahulu, Wan Junaidi dalam ucapan penggulungannya berkata, pihak kerajaan akan mengambil maklum cadangan semua wakil rakyat ketika berbahas berhubung ordinan itu.
“Saya ingin memaklumkan tindakan memasyhurkan Proklamasi Darurat adalah tindakan terbaik yang telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan perkara tersebut tidak menjadi lebih teruk. Ia juga bagi pandangan kerajaan, tindakan paling munasabah dan wajar bagi membantu rakyat yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara,” katanya.
Sebanyak tujuh ordinan yang diungkaikan, iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.
Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021, dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.
Selaras peruntukan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Wan Junaidi memaklumkan Proklamasi Darurat dan sebarang ordinan dimasyhurkan bawah Fasal (2B) Perkara 150, perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan Ordinan dimasyhurkan bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.
“Gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara bermula September 2020, menunjukkan kenaikan kes positif dan kematian begitu mendadak.
“Hingga 24 Oktober lalu, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 ialah sebanyak 2,426,050 kes, manakala jumlah kes aktif ialah 77,305 kes dan kematian pula 28,354 kes,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










