KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua ke sesi persidangan akan datang.
Usul itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Usul itu juga disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
“Menurut Peraturan Mesyuarat 90(2) dengan persetujuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 6, iaitu bagi menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti Perkara 2 yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini ke mesyuarat akan datang,” katanya.
Pemilihan Timbalan Speaker sepatutnya dibentang hari ini dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Dewan Rakyat sebelum ini sebulat suara meluluskan usul menangguhkan pemilihan Timbalan Speaker pada 14 September lalu.
Penangguhan itu bagi membolehkan pindaan dibuat terhadap Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan untuk menambah seorang lagi Timbalan Speaker kepada tiga orang, dengan salah seorang daripadanya turut diisi oleh wakil pembangkang. -UTUSAN ONLINE










