PETALING JAYA: Industri filem negara kini menghadapi dilema kerana kekurangan pelakon lelaki yang betul-betul memiliki sifat `jantan’ sebenar.
Sejak kebelakangan ini kata pelakon, Faizal Hussein, semakin ramai pelakon ‘adik-adik’ yang berselindung di sebalik imej lelaki perkasa muncul.
“Zaman sekarang, pelakon ‘adik-adik’ ini terlalu ramai. Berbeza dengan ketika zaman saya atau sebelumnya yang mana pelakon lelaki dinilai dengan pakej lengkap, memiliki rupa, bakat dan kejantanan.
“Dari segi penampilan, pelakon ‘lembik’ ini menampakkan ciri kelelakian dengan janggut, misai dan berbadan sasa. Tetapi apabila berada dalam keadaan selesa, mereka mula menyerlahkan sisi ‘lembut’ yang menjadi karakter semula jadi mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, pelakon lelaki di negara ini juga tidak perlu tampil dengan susuk fizikal yang sasa kerana kebanyakan pelakon wanita di Malaysia bertubuh kecil dan tidak sesuai digandingkan dengan lelaki yang terlalu tinggi dan berotot badannya.
“Di Malaysia, berapa ramai pelakon wanita yang tinggi lampai? Tak ramai. Hanya satu dua sahaja.
“Saya bagi contoh, Zul Ariffin digandingkan dengan Ruhainies. Susuk tubuh Zul yang besar dan berotot membuatkannya tak ubah seperti seorang abang kepada Ruhainies. Jadi, apabila mereka digandingkan sebagai pasangan dalam drama, ia jadi tak kena.
“Pelakon lelaki di Malaysia tak perlu tubuh terlalu besar dan berotot. Cukuplah fizikal yang biasa dan sederhana sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal juga berpandangan bahawa misai, janggut dan tubuh berotot bukan penentu kepada kejantanan bagi pelakon lelaki di Malaysia. – UTUSAN ONLINE









