Majikan culas carum Perkeso diburu - Utusan Malaysia

Majikan culas carum Perkeso diburu

M. SARAVANAN (kanan) bertanya khabar kepada tiga beradik yatim piatu, Mahalatchumu K. Selvam (3 dari kiri) sewaktu program penyerahan faedah PERKESO di Taman Sentosa Klang Selangor pada hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Majikan yang culas bayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan diburu susulan aduan diterima Kementerian Sumber Manusia didakwa berhubung sikap mereka yang berbuat demikian ketika menggajikan pekerja.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tindakan agresif akan diambil dalam masa terdekat dan akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjalankan operasi terhadap syarikat yang mengabaikan kebajikan pekerja itu.

Katanya, selain itu, sektor yang dikesan culas membayar caruman Perkeso adalah industri kecil dan sederhana (IKS), kontraktor sekolah dan kontraktor pembersihan.

“Saya beri amaran kepada syarikat kawalan keselamatan, pastikan pengawal dan pekerja anda dibela dengan baik. Saya terima banyak aduan di mana apabila tukar majikan, mereka masih menggunakan khidmat pengawal lama tetapi tiada caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya akan bincang dengan KDN, supaya keluarkan arahan baharu di mana tidak kira pengawal keselamatan bekerja sama ada satu hari atau sebulan, pastikan mereka diberikan jaringan keselamatan.

“Saya tidak akan berkompromi hal ini. Tanggungjawab mereka jaga keselamatan orang tetapi diri mereka tidak selamat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu Saravanan menyampaikan bantuan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat berjumlah RM3,003.20 kepada tiga beradik yang menjadi anak yatim piatu selepas kematian ibu bapa mereka di Taman Sentosa, di sini.

Ketiga-tiga beradik iaitu S. Mahalatchumy, 19, S. Muthukumaran, 17, dan S. Kastury, 16, menjadi anak yatim piatu selepas bapa mereka, mendiang K. Selvam, 53, meninggal dunia akibat serangan jantung pada April lalu.

Tidak lama kemudian, ibu mereka, S. Chandrakala, 43, pula meninggal dunia akibat Covid-19 pada 21 Ogos lalu.

Pencen penakat sebanyak RM1,003.20 sebulan akan dibayar kepada Mahalatchumy yang sedang menuntut dalam tahun kedua di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.

Wang pencen penakat itu akan dibayar sehingga ketiga-tiga beradik yang kini dijaga oleh nenek mereka itu mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Mahalatchumy ketika ditemui berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan khusus sebaliknya akan meneruskan pengajian seperti biasa.

“Dua lagi adik saya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Andalas dan kami belajar di rumah secara online. 

“Pada masa ini yuran pengajian saya dibayar oleh sebuah yayasan dan saya gembira apabila ada pihak yang akan memasangkan internet tanpa wayar (WiFi) bagi memudahkan kami mengikuti sesi pembelajaran secara online,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya