Mahasiwa perlu keluar daripada kepompong kepimpinan konvensional - Utusan Malaysia

Mahasiwa perlu keluar daripada kepompong kepimpinan konvensional

AHMAD Masrizal Muhammad (depan tiga dari kanan) bergambar dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM sempena Konvensyen MPP UiTM di Bangunan Canseleri di sini hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pandemik Covid-19 memberikan satu anjakan paradigma  kepada kepimpinan mahasiswa iaitu denghan mengadaptasi digitalisasi dalam pengurusan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional.

Justeru, anjakan sedemikian turut memberi norma baharu kepada golongan tersebut mahasiswa dan menjadi cabaran kepada mereka yang memerlukan kecekapan dan kepantasan dalam membuat keputusan.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, era kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam norma baharu tidak sama seperti dahulu.

“Ini kerana paksi kepimpinan mahasiswa bukan lagi berdasarkan kepada prinsip-prinsip kepimpinan konvensional tetapi adalah berdasarkan kepada prinsip kepimpinan digitalisasi.

“Maknanya, kegagalan pemimpin mahasiswa atau MPP dalam mengurus dan menguasai kepimpinan bersifat digital akan menyebabkan mereka boleh hilang daya kecekapan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen MPP Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2021 di UiTM Shah Alam hari ini yang bertujuan untuk menerapkan nilai kepimpinan era baharu dan menyuarakan pandangan melalui perbahasan dan perbincangan.

Program berkenaan melibatkan 244 ahli MPP seluruh UiTM bagi mencari resolusi memenuhi keperluan mahasiswa.

Ahmad Masrizal menambah, penekanan harus diberikan kepada kejituan pelajar UiTM dalam konteks mendukung aspirasi moto UiTM iaitu Usaha, Taqwa dan Mulia.

“UiTM bukanlah sekadar institusi pengajian, malah ia juga lambang perjuangan bumiputera yang meletakkan pendidikan sebagai teras utama kemajuan negara dan untuk itu UiTM perlu di remajakan untuk kembali ke roh perjuangan asalnya.

“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang bukanlah alasan untuk tidak melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh pelajar sebagai wakil mereka sebaliknya hubungan antara pelajar, MPP, universiti dan masyarakat perlu berlangsung dalam suasana normal baharu,” katanya.

MPP katanya dilihat berjaya memainkan peranan sebagai pihak penghubung antara pelajar dan universiti malah disarankan agar peka dengan kepimpinan di era digitalisasi ini dan mengambil langkah perlu bagi meningkatkan kemahiran kendiri dalam bidang digitalisasi dan seumpamanya.

“Untuk membolehkan kita kekal relaven kita perlu berani berhadapan dengan era kepimpinan digital secara tuntas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya