PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersedia menganjurkan pelbagai program sukan dan penganjuran acara berskala besar sekali gus merancakkan kembali industri penganjuran acara dan program di Wilayah Persekutuan ini.
Menterinya Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, sekiranya ia dibenarkan kelak, KWP akan memberi apa sahaja bentuk sokongan dan bantuan kepada penganjur sukan dan pihak korporat sekali gus memastikan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur dan Putrajaya kembali menerajui program sukan dan acara di negara ini.
“Kami akan memudah cara program dan penganjuran itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Katanya, jika program itu dibenarkan kelak, ia masih perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Shahidan berkata, beliau menjangkakan program sukan dan penganjuran acara berskala besar itu dapat dilaksanakan kembali selepas negara memasuki fasa endemik Covid-19.
Menurutnya, jika bilangan jangkitan Covid-19 semakin baik, berkemungkinan Putrajaya dan Kuala Lumpur boleh menganjurkan semula pelbagai acara larian dan marathon seperti sebelum pandemik Covid-19.
Pada masa sama, Shahidan berkata, sebanyak 100 program dan aktiviti sukan dirancang sempena Hari Sukan Negara 2021 di peringkat Wilayah Persekutuan antararanya, Keluarga Malaysia: Fit and Active Family HSN2021; Pertandingan Kursus Asas Ikatan; Pertandingan e-Sports FIFA 2021, Let’s Get Fit During Pandemic (bual bicara) dan KBS Lifestyle Talk.
Selain itu, Shahidan berkata, KWP kini dalam proses mendapatkan kelulusan bagi membangunkan Kompleks Belia dan Sukan dan pembinaan trek berbasikal sejauh 300 kilometer (km) di Putrajaya sekali gus merancakkan lagi aktiviti sukan di Pusat Pentadbiran Kerajaan ini.
Katanya, projek itu dijangka dapat dibangunkan tahun depan sama ada oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) atau peruntukan kerajaan. -UTUSAN ONLINE