BUTTERWORTH: Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti peleraian sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Juru dekat sini diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi secara haram.
Malah, premis itu juga dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Tindakan itu diambil hasil serbuan sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa kebenaran atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lesen daripada Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
“Sehubungan itu, arahan menghentikan operasi serta-merta telah dikeluarkan kepada pihak premis sehingga siasatan kes selesai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sharifah Zakiah, premis itu akan disiasat di bawah Seksyen 18, AKAS 1974 kerana beroperasi tanpa lesen daripada JAS yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tambahnya, premis terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 34B akta sama yang mana sekiranya disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000.
Tegas beliau, JAS Pulau Pinang memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi sepenuhnya peraturan dan perundangan yang sedia ada sebagai amaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mematuhi semua peruntukan perundangan berkaitan buangan terjadual serta tidak melupuskan dengan sewenang-wenangnya ke tempat yang tidak sepatutnya.
“Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang serius tanpa sebarang kompromi,” katanya. -UTUSAN ONLINE










