Ka Siong hantar surat penjelasan terhadap dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Ka Siong hantar surat penjelasan terhadap dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat

mca
WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah menghantar surat rasmi penjelasan bertulis berhubung dakwaan membuat jawapan lisan berkaitan isu dasar kabotaj yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Menurut Ka Siong, beliau menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kelmarin terhadap usul dikemukakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, surat itu telah disahkan terima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.

“Boleh rujuk salinan surat yang saya sertakan ini. Saya yakin YB (Yang Berhormat) Bagan dan YB Bukit Mertajam juga menerima surat sama yang dihantar oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Saya juga akan mengulas lanjut secara terperinci mengenai perkara ini dalam sesi debat dengan Guan Eng nanti, selepas Belanjawan 2022 dibentangkan pada 29 Oktober 2021. Saya tunggu Guan Eng, bila senang marilah kita berdebat!,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Azhar mengarahkan Ka Siong membuat penjelasan berkenaan jawapan lisannya berkaitan isu dasar kabotaj yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Hal ini kerana jawapan Ka Siong pada 30 September lalu dianggap bercanggah dengan jawapan bertulis Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkaitan isu sama pada 5 Oktober lalu.

Azhar berkata, penjelasan itu adalah susulan usul dikemukakan Guan Eng, untuk merujuk Ka Siong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan mengelirukan Dewan Rakyat.

Arahan itu dibuat Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh Isnin lalu kepada Ka Siong dengan salinannya turut diberi kepada Guan Eng yang kemudiannya mendedahkan kepada media.

Dalam jawapannya pada 30 September lalu, Ka Siong menyatakan dasar kabotaj bukanlah satu-satunya punca Malaysia tidak dilibatkan dalam projek Apricot oleh Facebook dan Google

Namun, Annuar dalam jawapan bertulis pada 5 Oktober, berkata Malaysia tidak dilibatkan dalam projek tersebut akibat dasar kabotaj yang tidak dapat diselesaikan.

Melalui dasar kabotaj, kapal berdaftar di Malaysia akan diberi keutamaan termasuk untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kabel di dasar laut.

Dasar itu pernah dikecualikan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun dikuatkuasakan semula sewaktu pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembatalan pengecualian kabotaj yang sebelum ini membenarkan kapal asing menjalankan kerja-kerja pembaikan kabel perhubungan bawah laut di perairan Malaysia diumumkan oleh Ka Siong pada November 2020.

Kata Ka Siong, langkah itu diambil bagi mengurangkan aliran keluar pertukaran asing dalam bentuk pembayaran perkapalan atau pajakan serta bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap kapal asing dengan meningkatkan penglibatan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

Isu kabotaj juga menyebabkan Guan Eng mencabar Ka Siong untuk berdebat dan ia disambut oleh Menteri Pengangkutan itu yang menyatakan kesediaannya selepas Kabinet membuat keputusan berkenaan dasar kabotaj pada bulan ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya