KLUANG: Jururawat yang patah kedua-dua belah kaki selepas terbabit kemalangan mengorbankan pemandu van ketika mengambil vaksin di Hospital Permai, Johor Bahru pada 18 Ogos lalu kini sedang menjalani rawatan susulan selain pemulihan di rumah masing-masing.
Azlina Mohd. Rawi, 41, yang juga Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kluang ketika mengimbas kejadian itu berkata, dia sedang berbual dengan Ketua Jururawat, Rosnilam Satari, 48, di tempat duduk belakang van berkenaan.
“Sewaktu kejadian kami dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan bertolak kira-kira pukul 11 pagi ke Johor Bahru, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan tahu-tahu saya sudah pengsan.
“Sebelum kemalangan itu saya sedang berbual dengan Rosnilam sambil melihat telefon bimbit dan menoleh ke arah tingkap van.
“Sebaik sahaja sedar dengan mata yang tak boleh terbuka, saya diberitahu berada di dalam ambulans dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Taman Sentosa, di sini semalam.
Dalam kejadian di kilometer 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai kira-kira 12.30 tengahari itu, pemandu van, Shamsul Shamsuri, 49, maut serta merta di lokasi manakala Rosnilam, Azlina dan seorang lagi kakitangan Kementerian Kesihatan, Amelia Pek Ying Hung, 26, selamat.
Azlina berkata, akibat kejadian itu dia mengalami patah di kedua-dua belah kaki sehingga dimasukkan struktur besi dan skru selain tidak mengetahui tempoh jangkaan pemulihan kerana belum diberitahu doktor yang merawatnya.
Dalam pada itu, nasib Azlina mendapat perhatian Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang menghulurkan bantuan kerusi roda dan wang saguhati kepadanya.
Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hishamuddin Abdul Rahim yang turut dihadiri Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A. Hamid dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam PKD Kluang, Dr. Linayanti Rosli.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, YRZSNJ turut men-yumbangkan katil dan wang saguhati kepada Rosnilam selain wang saguhati kepada waris Allahyarham Shamsul.
“Menjunjung kasih kepada Tuanku Permaisuri yang sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku kepada petugas-petugas barisan hadapan kita dan juga di atas perkenan Baginda untuk kurniaan yang telah disampaikan kepada mereka.- UTUSAN ONLINE