MELAKA: Surat pertukaran status hak milik tanah laut ditambak untuk pembangunan Melaka Gateway yang tular dalam media sosial tidak sepatutnya dijawab oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, ini kerana Nor Azman tidak mempunyai kaitan langsung dengan surat rasmi Kerajaan Negeri Melaka bertarikh 23 Mac 2014, kerana ketika itu beliau belum menjadi wakil rakyat.
Tegasnya, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron merupakan individu sepatutnya memberikan penjelasan secara terbuka berhubung perkara tersebut.
“Mengapa perlu beliau (Nor Azman) mengulas surat yang tular itu? Beliau hanya menjadi ADUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 2018.
“Saya rasa macam pelik bila baca kenyataan ADUN Pantai Kundor, hendak menjawab isu surat yang tular dalam media sosial.
“Sepatutnya Idris yang menandatangani surat tersebut perlu menjawabnya. Ini tidak, sampai hari ini beliau diam seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Rakyat hendak tahu juga perkara tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Nor Azman menegaskan tidak mengetahui kewujudan surat pertukaran status hak milik tanah laut yang ditambak untuk pembangunan Melaka Gateway.
Menurut beliau, surat berkenaan tidak pernah dibawa ke Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) yang dipengerusikan oleh ADUN Duyong, Damian Yeo Shen Li.
Sejak Khamis lalu, tular dalam media sosial surat rasmi Kerajaan Negeri Melaka yang ditandatangani Idris kepada Pengarah Urusan KAJ Development Sdn. Bhd., Datuk Michelle Ong berhubung tindakan kerajaan negeri menukar status hak milik tanah laut yang ditambak.
Menurut surat tersebut, status hak milik tanah seluas 609 ekar ditukar daripada 99 tahun kepada status pegangan bebas sebagaimana mengikut Kanun Tanah Negara 1965 dan kelulusan Majlis Tanah Negara. -UTUSAN










