PETALING JAYA: Nasib ‘pak belang’ di negara ini bagaikan di hujung tanduk selepas bilangannya menunjukkan penurunan ketara hamppir 50 peratus sejak lima tahun kebelakangan ini.
Apa yang membimbangkan, kira-kira 150 ekor haiwan itu hilang tanpa dikesan dipercayai dibunuh pemburu haram ekoran permintaan tinggi
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pada 2014 sahaja, sebanyak 350 ekor harimau dicatatkan di tujuh buah negeri iaitu Perak, Terengganu, Selangor, Kelantan, Kedah, Johor dan Pahang, namun ia menunjukkan penurunan mendadak pada tahun lalu.
“Tidak mustahil haiwan ini pupus dalam tempoh lima tahun akan datang akibat pemburu haram yang sanggup berkampung di hutan dalam tempoh masa yang lama.
“Malah faktor lain saling berkait rapat seperti habitat yang semakin kecil, rantaian makanan yang semakin susut dan penyakit canine distemper virus (CDV) turut menyumbang kepada ‘kehilangan’ harimau berkenaan,” katanya di sini semalam.
Pada tahun 1994 sehingga 2008, jumlah harimau dianggarkan sebanyak 400 sehingga 500 ekor, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara Asia Tenggara yang mempunyai populasi harimau terbesar.
Tambah Abdul Kadir, pemburu haram terutama membabitkan warga asing sanggup menyamar dan datang ke negara ini sebagai pekerja kilang sebelum merompak hasil negara termasuk harimau.
“Malah, ada yang sanggup meredah hutan dan tinggal beberapa bulan bagi memastikan hasil bernilai jutaan ringgit dapat dirompak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata, ancaman harimau belang meningkat akibat kewujudan penyakit berjangkit seperti CVD yang turut berlaku kepada anjing dan kucing. -UTUSAN










