Hanya segelintir guru belum divaksin - Utusan Malaysia

Hanya segelintir guru belum divaksin

MAH Hang Soon (dua dari kanan) berbual dengan guru pra-sekolah, Azzatul Azlin Mat Aripin (kiri) semasa lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Bersih di Ulu Slim, Slim River hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Hanya sebilangan kecil guru di seluruh negara yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, setakat kelmarin, 98.7 peratus atau 408,331 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, seramai 400,678 orang atau 97 peratus guru pula telah lengkap menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Memang ada guru yang belum divaksin, namun, jumlahnya sangat kecil, hanya segelintir sahaja.

“Jadi, saya galakkan mereka untuk segera mendapatkan suntikan vaksin, kalau boleh, secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Bersih di Ulu Slim, Slim River di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme dan Keguruan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim.

Sementara itu, mengulas lawatannya ke SK Pos Bersih, Hang Soon memberitahu, sebuah sekolah menengah bakal dibina di Kampung Sawa, Slim Village di sini bagi memberi kemudahan kepada pelajar setempat.

Katanya, cadangan pembinaan sekolah tersebut akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sekolah menengah terdekat di sini sejauh kira-kira 24 kilometer, jadi, kalau kita dapat bina sebuah sekolah lagi dalam anggaran lapan kilometer, sudah tentu akan memudahkan pelajar di sini untuk ke sekolah.

“Sekolah itu nanti bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar Orang Asli khususnya di Pos Bersih dan Pos Tenau tetapi juga pelajar lain. Lokasi tapaknya sudah ada dan kita akan cuba masukkannya dalam RMK-12,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya