PETALING JAYA: Kadar pembelian kereta elektrik (EV) bermula tahun depan berkemungkinan tidak mendapat sambutan daripada rakyat berikutan bilangan stesen pengecas EV yang terhad.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, stesen pengecas EV perlu diperbanyakkan serta diperluaskan sekiranya benar-benar mahu membangunkan industri EV tempatan.
Katanya, stesen untuk mengecas kenderaan tersebut dianggarkan hanya 20 stesen setakat ini di seluruh negara.
“Banyak kawasan atau negeri masih kekurangan atau tiada stesen pengecas tersebut terutama di negeri pantai timur, Sabah dan Sarawak. Ini sekali gus menjadi punca rakyat tidak mahu menggunakan EV.
“Saya menjangkakan jualan kereta elektrik akan meningkat berbanding tahun lepas. Namun, kekurangan stesen pengecas di seluruh negara menyukarkan pengguna untuk mengecas kenderaan mereka” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, kerajaan di dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan akan memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan untuk kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan.
Aishah berkata, tidak dapat dipastikan sama ada EV dapat mendominasikan sektor permotoran negara kerana masih terlalu awal walaupun harganya diturunkan.
“Pengecualian cukai ini sudah tentu menurunkan harga kereta elektrik tetapi jika mendominasikan sektor permotoran, saya rasa tidak mungkin akan berlaku pada masa sekarang kerana masih terlalu awal untuk menjangkakan,” katanya. – UTUSAN










