PETALING JAYA: Kerajaan perlu memikirkan sebaik-baiknya keper luan doktor di negara ini berikutan pengagihan mereka ke setiap negeri yang dikatakan tidak seragam.
Meskipun seorang doktor di negara ini boleh dianggap mencukupi apabila nisbahnya bersamaan 454 orang untuk seorang doktor seperti yang dilaporkan Ogos tahun lalu, agihan penempatan itu menimbulkan permasalahan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, nisbah tersebut boleh dianggap sudah baik untuk negara ini kerana menyamai nisbah yang diperuntukkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu seorang doktor untuk 500 orang.
“Namun berlaku keadaan jumlah doktor yang sepatutnya di kawasan tertentu tidak mencukupi, tetapi ada pula kawasan lain yang terlebih bilangannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mempersoalkan langkah kerajaan yang baru mahu membuat unjuran jumlah doktor kontrak yang perlu diserap ke perkhidmatan tetap sedangkan isu berkenaan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.
Ini berikutan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tiada jaminan untuk menyerap semua doktor kontrak ke perkhidmatan tetap, namun kerajaan akan meletakkan unjuran jumlah yang diperlukan.
Khairy berkata, unjuran tersebut sedang disediakan oleh Kementerian Kesihatan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Menurut Kar Chai, pihaknya tidak menolak keperluan menambah perjawatan doktor namun ia perlu dilihat secara lebih mendalam.
“Ikutkan WHO memang cukup dan jika ditambah itu juga memerlukan kos-kos tambahan lain, tetapi jika ada kebolehan menambah, itu lebih baik,’’ katanya.
Tambah beliau, MMA sememangnya amat berharap segala yang diminta oleh doktor kontrak dapat direalisasikan oleh Kementerian Kesihatan dan pihaknya tidak akan terus berhenti berbincang bersama kementerian itu.
“Apa yang penting buat masa ini adalah kami melihat yang Menteri Kesihatan sedang berusaha, jadi kita tunggu sahaja dahulu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak masih mengharapkan perubahan dalam Bajet 2022 bagi menjawab persoalan dan penantian mereka berhubung pelantikan secara tetap dalam kerajaan melalui sistem yang lebih telus.
Jurucakapnya, Dr. Muhammad Yassin berkata, ini berikutan pihaknya melihat wujud kemungkinan positif apabila nasib mereka turut dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat.
“Kita akan lihat perubahan dan tunggu perbahasan Bajet 2022 tamat, selepas itu baru kita buat keputusan untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan sejumlah RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.
Kerajaan juga bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun.
Bagaimanapun, pengumuman itu belum menjawab persoalan dan penantian semua doktor kontrak mengenai pelantikan mereka secara tetap dalam kerajaan melalui sistem yang lebih telus seperti dilaporkan sebelum ini.
Menurut Dr. Muhammad Yassin, gerakan itu belum mempunyai cadangan untuk melancarkan sebarang mogok buat masa ini kerana memahami keputusan Kementerian Kesihatan yang mengatakan doktor sudah terlalu banyak sebelum ini.
“Jadi, kita akan cuba membuat forum untuk beri idea kepada doktor muda mengenai peluang pekerjaan di luar Kementerian Kesihatan.
“Kita juga akan cuba membuat banyak perbincangan dengan Khairy dan berdialog dengan beliau,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










