PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melaksanakan kajian forensik siber bagi menjejaki tahap keseriusan kebocoran data peribadi oleh agensi kerajaan tertentu.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah penyiasatan berkenaan perlu disegerakan walaupun kebocoran itu tidak melibatkan mana-mana agensi di bawah kementerian tersebut.
“Tiada perkara melibatkan kelemahan yang akan dibiarkan begitu sahaja ketika siasatan bagi kita mencari berapa serius kebocoran itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Meskipun tidak menyatakan secara terbuka, beliau merujuk isu tular kebocoran data yang melibatkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen baru-baru ini sebagaimana mula didedahkan melalui forum perbincangan atas talian tempatan, bagaimanapun dinafikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Bukit Aman, Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau rapi isu ketirisan tersebut walaupun belum ada dakwaan kukuh dan mengarahkan pihak SKMM untuk menilai semula Akta SKMM 1998 bagi memastikan keselamatan siber tempatan dapat diurus dengan perundangan ketat.
Beliau memberi jaminan bahawa keselamatan siber negara ini masih kukuh, malah, Malaysia disenaraikan posisi kesepuluh indeks global tahun lalu dan kelima dari segi komitmen serius.
Bagaimanapun, keadaan itu, ujarnya, bukan bermaksud Malaysia tidak rentan dalam ancaman siber sejagat dan apa didedahkan baru-baru ini wajar dijadikan peringatan untuk siap siaga.
Agensi di bawah kementerian itu, CyberSecurity Malaysia juga diarahkan untuk menyediakan kerangka kerja perundangan yang kukuh bagi mendepani cabaran teknologi digital terkini.
Annuar menaruh keyakinan, kerjasama bersepadu antara pelbagai pihak dapat membendung usaha tidak bertanggungjawab pihak penggodam menerobos sistem data pada masa depan.
Keteguhan perlindungan data peribadi individu di Malaysia juga amat diberi perhatian oleh pihak kerajaan kerana ia memberi jaminan keyakinan jangka panjang buat pelaburan asing. -UTUSAN ONLINE