BN Melaka diminta nyata pandangan mampu bertanding solo atau berunding - Utusan Malaysia

BN Melaka diminta nyata pandangan mampu bertanding solo atau berunding

MOHAMAD Hasan menyampaikan bantuan kepada 132 orang warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Masjid Kampung Sega, Rantau di Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Melaka diminta untuk menyatakan pandangan sama ada bersedia atau tidak, untuk bertanding secara solo mahupun berunding dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan sama ada perlu bekerjasama dengan PN ataupun bertanding secara berseorangan hanya akan diputuskan di peringkat ibu pejabat tetapi ia mengambil kira pandangan dan kemampuan BN dan UMNO di peringkat negeri.

“Saya sudah turun ke Melaka, saya minta mereka berfikir sama ada apakah UMNO Melaka dan BN mempunyai kekuatan sendiri ataupun mereka memerlukan berunding.

“Kalau mereka kata mempunyai kekuatan sendiri dan berkeyakinan untuk berhadapan dengan PRN ini berseorangan, ibu pejabat juga akan mengkaji sama ada ini benar ataupun tidak maka kita akan memutuskan bersama.

“Tetapi jika mereka kata tidak boleh bersendirian, mereka juga mesti memberitahu dan memberikan taklimat kepada kami di ibu pejabat mengapa kata begitu dan dengan siapa mereka mahu berunding, kata putus bukan di negeri, kata putus di ibu pejabat,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan bantuan kepada 132 orang warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Masjid Kampung Sega, Rantau di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, keputusan sama ada UMNO ingin bertanding solo atau bekerjasama dengan PN dalan PRN Melaka akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung pada 14 Oktober ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusof pula berkata, akan mempertimbangkan cadangan untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PN dalam menghadapi PRN dan beranggapan ia cadangan yang baik dan akan diteliti sebelum dibawa ke peringkat tertinggi parti untuk diperhalusi.

Sementara itu, Mohamad berkata, soal calon yang akan mewakili UMNO dalam PRN itu nanti juga akan diputuskan oleh ibu pejabat tetapi ia datang daripada calon yang dikemukakan oleh bahagian.

“Ia ada dalam perlembagaan parti, bahagian-bahagian mesti bermesyuarat dan mesti menamakan, maka di situ akan ada perundingan, mereka akan menamakan bukan satu orang sebaiknya menamakan tiga empat orang.

“Kata putusnya nanti akan pula kita buat saringan, ibu pejabat pula akan ada dia punya proses yang lain dan akhirnya Presiden dan Pengerusi BN akan menandatangani watikah untuk calon yang telah pun terpilih untuk mewakili parti di kawasan yang tertentu.

“Namun mesti ada perundingan dalam mesyuarat bahagian supaya calon-calon yang dipilih itu mendapat sokongan daripada bahagian, ini penting kalau tiada sokongan, susah juga tetapi akhirnya siapa-siapa yang terpilih ia dipilih oleh pihak ibu pejabat, bahagian dan negeri hanya boleh mengemukakan nama-nama sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN