ARAU : Kenaikan mendadak harga barangan asas binaan khususnya besi sehingga mencecah kenaikan 100 peratus perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan sekali gus membela nasib golongan kontraktor yang terjejas.
Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, perbincangan bagi menetapkan harga lantai barangan binaan berkenaan perlu segera dilakukan agar tidak membebankan para kontraktor khususnya bagi mereka yang baru sahaja menceburi bidang tersebut.
Katanya yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), mekanisme harga barangan binaan tersebut perlu diselarikan agar tidak membebankan golongan berkenaan.
“Kaedah tersebut penting bagi memastikan sama ada harga tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah dengan selarikan harga.
“Selain itu, kerjasama semua pihak amatlah diperlukan dengan mereka boleh duduk semeja berbincang bagi mencari solusi terbaik dalam mengawal kenaikan harga besi yang membebankan kontraktor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan golongan kontraktor di seluruh negara mengeluh dan berisiko gulung tikar apabila harga barang binaan terutama besi melambung sehingga mencecah antara 60 hingga 100 peratus sejak awal tahun dan berterusan sehingga kini.
Lebih membebankan, dalam tempoh dua minggu lalu, harga besi dilaporkan meningkat lagi antara 20 sehingga 30 peratus dan kenaikan tersebut dijangka berterusan.
Susulan kenaikan tersebut, rata-rata kontraktor terpaksa menangguhkan pembinaan atau menanggung kerugian dengan meneruskan projek yang sudah dipersetujui.
Tambah Kamarul Azman, pakar-pakar dalam sektor pembuatan dan syarikat-syarikat terbabit boleh berbincang bagi mencari solusi terbaik di dalam membantu kerajaan menangani masalah kenaikan ini.
“Kenaikan harga akan menyukar dan membebankan kontraktor dan usahawan yang baru menceburi bidang tersebut khususnya dalam tempoh mencabar pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi ketika ini,” katanya
Sementara itu, katanya, kenaikan harga barangan dalam pelbagai sektor serta keperluan lain perlu diberikan perhatian sama kerana ia memberi kesan kepada rakyat
“Memandangkan kita akan memasuki fasa endemik, seharusnya kerajaan perlu membantu sebaik mungkin di dalam memulihkan sektor ekonomi yang terjejas,” katanya. -UTUSAN ONLINE










