PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan terkawal melebihi harga ditetapkan di seluruh negara setakat 29 September lalu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan paling tinggi membabitkan minyak masak dengan 172 aduan, diikuti gas petroleum cecair (172), gula (28), kit ujian Covid-19 (17), pelitup muka (11) dan tepung (11).
Beliau berkata, susulan itu, sebanyak 162 kertas siasatan dibuka atas kesalahan peniaga gagal mengikut harga ditetapkan kerajaan.
“Penguatkuasa KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggar garis panduan dan syarat serta harga.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata, kementerian juga berharap kepada semua peniaga di semua premis perniagaan termasuk perniagaan atas talian supaya mengikuti semua garis panduan dan syarat termasuk menjual pada harga yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, perlu juga diingatkan bahawa harga yang ditetapkan bagi barangan dikawal itu tidak termasuk caj penghantaran.
“Pengguna juga diseru untuk tidak membeli barangan yang dikawal dari premis atau platform atas talian yang dijual melebihi harga yang ditetapkan kerajaan.
“Malah, pengguna juga diminta untuk melaporkan kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap barang tersebut dengan tanda harga beserta lokasi premis dan platform melalui saluran aduan KPDNHEP,” katanya. -UTUSAN ONLINE










