Balu rindukan Allahyarham Mamat Khalid - Utusan Malaysia

Balu rindukan Allahyarham Mamat Khalid

HASMAH Hassan ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Balu Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan mengakui merindui suami yang meninggal dunia semalam.

Menurutnya, apatah lagi pemergian pengarah dan penerbit terkenal itu secara mengejut dan tidak menunjukkan ada mengalami masalah kesihatan yang serius.

Katanya, bahkan suaminya itu sangat gembira sebelum pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

“Rasa rindu, macam terkejut sebab dia sihat, masa itu dia sangat gembira.

“Pemergiannya secara mengejut,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini hari ini.

Sementara itu, Hasmah menceritakan sebelum meninggal dunia, suaminya ada memberitahu kepada seorang kawannya mahu bertemu dengan dua orang kawan lamanya.

Katanya, suaminya itu memberitahu kawan lamanya itu berjubah putih dan sangat gembira mahu bertemu dengan mereka.

“Kami tertanya-tanya siapa mereka kerana kawan suami saya itu tidak nampak orang berjubah putih itu yang dikatakan oleh suami saya,” katanya. 

Menurut Hasmah lagi, suaminya tidak meninggalkan apa-apa pesanan sebelum menghembus nafas terakhir.

Katanya, ini mungkin kerana sejak kebelakangan ini suaminya itu sering bersendirian kerana banyak menulis.

“Kebelakangan ini dia banyak menulis dan jika dia menulis, kami faham dia tak mahu diganggu.

“Jika ada yang nak jumpa dia dan tak dapat jumpa, janganlah berkecil hati kalau tak dapat berjumpa kerana dia memang begitu ketika sedang asyik menulis,” katanya. 

Mengenai kehadiran Pengerusi Finas, Hasmah berkata, dia berterima kasih kepada Finas yang datang menziarahi keluarganya pada hari ini. 

“Ini merupakan kali kedua Finas datang menziarahi kami, pertama ketika suami saya sakit dua tahun lalu.

 “Ini bermaksud Finas sangat menghargai kerja-kerja seni dan orang yang bekerja dalam bidang ini,” katanya. 

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin.

Sebelum itu, pengarah dan penerbit terkenal itu membuat persembahan di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum pengsan dibawa ke Hospital Slim River. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN