KABUL: Amerika Syarikat (AS) dan Britain mengeluarkan amaran kepada rakyat mereka supaya menjauhi atau tidak mendekati kawasan hotel sekitar Kabul terutamanya di Hotel Serena.
Jabatan Negara AS menerusi kenyataan memaklumkan, mana-mana rakyat negara itu yang berada di sekitar kawasan hotel berkenaan diarahkan supaya meninggalkan lokasi tersebut secepat mungkin.
Amaran itu dikeluarkan selepas kedua-dua negara menyatakan terdapat ancaman keselamatan di sekitar kawasan tersebut.
Dalam pada itu, pejabat Luar United Kingdom (UK) menggesa warganya supaya tidak melakukan perjalanan ke Afghanistan dalam masa terdekat.
“Anda dinasihatkan tidak menginap di hotel di sekitar Kabul, terutamanya di Hotel Serena berikutan terdapat ancaman keselamatan,” jelas kenyataan pejabat tersebut.
Hotel Serena merupakan satu daripada hotel mewah di Kabul dan sering menjadi pilihan pelancong asing sebelum bandar ini dikuasai Taliban.
Hotel tersebut pernah menjadi sasaran serangan pengganas sebanyak dua kali.
Dalam serangan bom terbaharu yang berlaku pada Jumaat lalu, kumpulan Daesh mengaku melancarkan serangan tersebut.
Insiden pengeboman itu berlaku ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat dan menjadi antara serangan pengganas paling teruk sejak tentera AS meninggalkan negara ini. – AFP